Saturday, August 15, 2009

Antara Wanita Solehah Atau Wanita Fitnah.MANA PILIHAN ANDA??

Assalamualaikum W.B.T..


Iqra! Bacalah! Ya...Saya suka membaca. Salah satu bahan bacaan yang menjadi pilihan saya ialah majalah-majalah yang banyak terdapat di pasaran baik bertema kerohanian dan sukan.Disamping juga saya gemar melawat blog rakan2.. Jadi kunjungilah juga blog saya http://nalurisianakmuda.blogspot.com jika anda ada kelapangan.


Tidak dinafikan kandungan di dalamnya sangat infomatif, mendidik dan menambah ilmu di dada.

Pembahagian topik-topik juga diselarikan dengan sesuatu isu setiap bulan keluaran. Sebagai contoh, majalah bercorak sukan, kebanyakannya menumpu kepada gaya hidup, berita terkini, info menarik dan sebagainya, Manakala majalah bertema kerohanian dan keagamaan pula turut memapar pelbagai maklumat menarik mengenai tip-tip imenjadi qudwah yang cemerlang, info untuk bermuhasabah diri, tarbiah jiwa, masalah kesihatan dan sebagainya.

Ditambah, corak persembahan yang menggunakan kertas berkualiti dengan hebahan tajuk-tajuk terkini di sekitar kehidupan bermasyarakat, sangat berguna dan bermanfaat untuk diaplikasikan pula dalam kehidupan saya .


KULIT DEPAN

" Hassriq, cuba tengok ni, " pinta sahabat ketika saya sedang sibuk melayari internet. Saya bangun lalu menuju ke arahnya.

" Cuba anta nilai melalui kacamata seorang student. Cantik tak ‘cover' buku ana ni?' ,sahabat bertanya meminta pandangan saya terhadap kulit buku baru bertajuk ‘seindah solehah' yang sedang dalam pembikinan.

" Cantik..kena betul dengan kehenseman penulisnya yang berkaca mata ni ," jawab saya sambil meraikan sahabat yang dikasihi Allah itu.

Mata terpaku melihat warna kulit buku yang terpapar di skrin komputer. Merah hati yang berhias kembangan bunga mawar merah darah, dan diserikan pula dengan bait-bait puitis khusus buat wanita solehah.

Saya maklum mengapa sahabat saya sangat mengambil berat penampilan kulit luaran bukunya itu. Saya percaya bukan dia seorang sahaja tetapi kebanyakan penulis juga begitu.

Kerana itu, seseorang penulis yang menyerahkan hasil tulisannya, sangat berharap agar bukunya yang bakal terbit tidak hanya elok dan betul susunan bahasanya, teliti dalam pengeditan salah eja dan garapan isi kandungannya, tetapi turut juga dipersembahkan dengan kulit luar atau cover yang akan mampu menarik seramai mungkin bakal pembeli yang membaca buku tersebut berikutnya.


PERLUKAH BEGINI ?

Sebagaimana penulis dan pengeluar buku yang mengambil berat tentang cover buku, demikian juga halnya bagi pengusaha majalah-majalah tempatan yang wujud di Malaysia. Termasuklah majalah-majalah bertema agama.


Namun, dalam asyik membelek dan membaca input-input yang banyak di dalam majalah yang ada, hati saya pasti tertanya-tanya tentang hal yang satu ini. Tentang keperluan sesuatu majalah terutama yang dikatakan bercorak keislaman menampilkan seorang wanita sebagai penghias kulit depan. Bak kata orang sekarang, sebagai covergirl pelaris jualan. Perlukah ?


Adakah kerana ingin memberi penampilan berbeza dan lebih bersifat alternatif terhadap lambakan majalah-majalah yang menjadikan wanita tanpa menutup aurat sebagai penghiasnya, maka ditampilkan pula wajah-wajah indah wanita menutup aurat dan berbusana Muslimah ? Dengan kata lain, pihak penerbit mahu mengatakan, beginilah majalah yang islamik sepatutnya diketengahkan.


Atau, kerana tujuan untuk berdakwah ? Terutama saya maklum ada beberapa majalah yang menjadikan selebriti dan artis yang tidak menutup aurat sebagai cover depan majalah mereka. Artis dan selebriti ini dipakaikan pakaian yang sopan menutup aurat sebagai satu ajakan halus dan lembut, agar mudah-mudahan suatu hari kelak mereka akan terbuka hati dan tampil di khalayak umum dengan penampilan seorang Muslimah sebenar.

JANGAN CEPAT MELATAH..ADA MUDARAT DAN MANFAATNYA..

"Isu ini ada mudarat dan manfaat sekaligus. Jadi, untuk menentukan sikap yang tepat, pertimbangan teliti lagi adil terhadap kedua-dua aspek ini mesti dilaksanakan. Penilaian pula mesti dilakukan oleh para ilmuan Islam yang berwibawa, " tegas Zaid bila saya mengajukan persoalan ini.

"Namun, kebimbangan hari ini adalah pihak penerbit dan pasukan jualannya sendiri yang menilai, dan bukan dari ilmuan Islam yang kefahamannya berpaksikan hukum yang telah ditetapkan. Tatkala itu sudah tentu keputusan yang berdasarkan memberi ‘manfaat lebih besar' lalu menyebelahi pihak penerbit, tetapi sebenarnya tidak menyebelahi hukum Islam, " tambah beliau lagi dengan penuh bersemangat.

Dalam hal ini saya terfikir, adakah proses ini sudah dijalankan oleh pihak penerbit majalah dan buku?

DAKWAH ITU PERLU..BETUL KAN?

Saya tidak menafikan kepentingan berdakwah kepada golongan artis seperti mereka. Juga jauh sekali dari berprasangaka, bahawa penampilan mereka ini tidak lain sebagai rencah pelaris untuk mengaut keuntungan sebanyak-banyaknya. Semoga Allah memelihara hati saya dari bisikan jahat sebegitu.

Peringatan Allah mengenai larangan mencela sesuatu golongan, kemas tersemat sebagai panduan. Saya sedar dan yakin, setiap orang memiliki sisi kebaikan yang boleh dicontohi oleh orang lain. Golongan selebriti dan artis seperti mereka tidak terkecuali.

Justeru, mengenengahkan kisah-kisah kebaikan seseorang artis yang boleh dijadikan teladan kepada pembaca sangat dialu-alukan. Saya menyokong usaha-usaha ke arah itu. Sementelah pula, pakaian menutup aurat dan sopan bukanlah hak milik eksklusif golongan tertentu semata-mata. Ia adalah pakaian semua Muslimah yang beriman kepada Allah sebagai Tuhan yang sewajarnya disembah dan Nabi Muhammad sebagai utusan Allah kepada sekelian umat.

Akan tetapi, menurut penilaian saya (walau berbeza dengan orang lain), tidak perlu artis dan selebriti ini tampil sebagai muka depan, cukup sekadar memaparkan sekeping dua gambar yang sopan dan menutup aurat di bahagian dalam majalah dengan diiringi cerita-cerita tentang kebaikan dalam diri mereka yang boleh dicontohi semua. Ubah penampilan mereka yang selama ini mengundang nafsu dan dosa kepada sesuatu yang boleh melahirkan taqwa dan iman kepadaNya.

JIWA MEMBERONTAK

Jiwa saya menjadi semakin memberontak, apabila melihat wajah-wajah wanita bertudung litup yang menghiasai majalah, turut disaluti solekan tebal untuk tayangan umum, persis seorang artis bukan Islam.

Lebih bimbang apabila hanya wajah-wajah yang dikira menarik sahaja akan dipilih. Mengapa ?

Kita bimbang, para lelaki termasuk yang sudah bergelar suami akan rambang mata membandingkan isterinya dengan wajah-wajah yang dipaparkan. Ya, wajah-wajah terpilih dari jutaan wanita, tentunya akan menyebabkan isteri-isteri yang ‘kurang' rupa paras jadi rendah diri serendah-rendahnya.

Seorang ustaz pernah menceritakan bahawa dia pernah menerima emel-emel yang meminta panduan, pandangan dan nasihat, daripada wanita yang merasa dirinya sangat hina, apabila suaminya ketagih menonton filem lucah yang menawarkan gambar-gambar wanita bertubuh ‘solid'. Si isteri yang menghantar emel itu berkata :

" Saya bimbang suami akan membandingkan tubuh saya dengan wanita di dalam filem tersebut, maka amat jauh tewasnya saya,".

Tatkala ustaz itu menceritakan hal tersebut, fikiran saya terus memikirkan wajah-wajah menarik penyeri majalah yang memaparkan wanita berpenampilan indah ini. Adakah hal yang sama akan mengganggu pemikiran para isteri ?


PERLUKAH BEGITU ?


Allah SWT memerintahkan hambaNya untuk berpesan-pesan dengan kebenaran dan berpesan-pesan dengan kesabaran. Dan matlamat saya tidak lari dari tujuan ini. Sebagai tazkirah untuk diri sendiri dan golongan wanita hari ini.


Dalam menghitung Ramadhan yang bakal menjelma, beberapa hari sahaja lagi. Mari kita memuhasabah diri.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :

"Tidak aku tinggalkan fitnah selepasku yang lebih boleh membawa mudarat kepada lelaki selain wanita" (Hadis riwayat Bukhari)


KATAKAN TIDAK WAHAI WANITA! Anda bukan golongan yang mengundang fitnah ini.

KATAKAN TIDAK WAHAI WANITA! Anda bukan kumpulan yang membawa mudharat kepada kaum lelaki.


Sebaliknya, mari sama-sama berdoa, berharap dan berusaha agar anda akan termasuk di kalangan wanita yang dimaksudkan oleh Nabi SAW: "Dunia adalah perhiasan dan sebaik-baik perhiasan adalah wanita solehah".


Akhir bicara, sebenarnya, adakah benar-benar manfaat lebih besar dari mudarat dalam hal ini ? Perlukah begitu ? Sama-sama kita fikirkan dan bertindak jika ia di dalam ruang kuas
a anda dan kita semua.

p/s: ader hamba allah yg post bulletin kt myspace. so aku amik nk k0ngsi dng k0rg sume.

No comments: